15.4.11

kapten jet wanita pertama Filipina


Petikan dari KOSMO ONLINE 15.4.2011

DI daratan, Brooke Castillo merupakan seorang pemain piano klasikal, pengurus kumpulan rock, ahli sukan elit dan seorang guru, tetapi apabila berada di langit tinggi, dia begitu cemerlang.

Castillo merupakan kapten jet komersial wanita pertama di Filipina, daripada kokpit Penerbangan Airbus Cebu Pacific A319s dan A320s, beliau mempunyai kerjaya yang terbaik di dunia.
"Saya sudah ditakdirkan untuk berada di sini. Saya sahut cabaran dan mendapati ia adalah sesuatu yang saya suka lakukan," kata wanita berusia 41 tahun yang mempunyai sosok tubuh tinggi itu. Dia yang sebelum ini mempunyai pelbagai bakat mengambil keputusan 'bersara' daripadanya selepas mendaftarkan diri di sekolah penerbangan. Castillo dibesarkan di kediaman mewah di Manila. Ayahnya merupakan seorang pemilik bank dan ibunya pula menguruskan sebuah kasino sementara tiga abang Castillo membantunya berjinak-jinak dalam bidang sukan.
Zaman kanak-kanaknya banyak diluangkan bersama keluarga di pusat boling. Dengan bakatnya itu Castillo akhirnya mewakili negara untuk pasukan junior dalam sukan boling.
Dia juga merupakan ahli pasukan bola keranjang belia Filipina dan berjaya memenangi pingat perak untuk negaranya selepas menyertai Kejuaraan Taekwando Asia Tenggara. Dalam banyak-banyak hobi dan bakatnya yang lain, Castillo gemar bermain piano klasikal, menguruskan kumpulan rock alternatif dan pada masa yang sama mempunyai Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Filipina.
Castillo memberitahu, dia tidak pernah berhasrat untuk menjadi seorang juruterbang tetapi mula jatuh cinta dalam industri penerbangan sebaik tamat kolej ketika menemani seorang rakan untuk menghadiri sesi ujian juruterbang bagi mendapatkan biasiswa daripada penerbangan kebangsaan. Dia turut mengambil ujian tersebut dan berjaya dengan cemerlang sementara rakannya gagal.
"Apabila saya pergi ke sekolah penerbangan, saya dapati semua perkara yang dipelajari sebelum ini seperti muzik, perkara-perkara di sekolah dan sukan, kesemuanya boleh dilakukan lebih daripada subjek yang dipelajari ketika di kolej," ujarnya.
Minatnya untuk menjadi juruterbang membolehkannya menjadi wanita pertama menerbangkan jet komersial pada tahun 1996 dengan Penerbangan Filipina. Selepas berhijrah ke syarikat pesaing, Cebu Pacific pada tahun 2003, Castillo menjadi kapten jet wanita pertama di Filipina.
Sepanjang kariernya, dia telah membuka ruang kepada wanita lain berkecimpung dalam industri tersebut sehingga menyaksikan seramai 14 juruterbang wanita berkhidmat di Cebu Pacific.


"Saya berharap bilangan juruterbang wanita akan bertambah," katanya.

Castillo juga merupakan seorang jurulatih juruterbang muda Cebu Pacific memberitahu, seseorang ketua penerbangan tidak boleh berkompromi apabila memilih kapten untuk jet mereka.
"Dalam profesion kami, tiada istilah pilih kasih kerana kita tidak boleh meletakkan nyawa seseorang itu dalam bahaya," tegasnya.
Castillo memberitahu, wanita mempunyai kelebihan kerana mereka cenderung menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang kecil. Seseorang juruterbang perlu memeriksa lebih daripada 200 item sebelum penerbangan sebenar dilakukan. "Mereka mengatakan bahawa wanita lebih teliti dan boleh membuat lebih banyak perkara dalam satu-satu masa. Kemungkinan ia benar kerana ia berlaku di depan mata saya," ujarnya.
Menjadi pelatih Piper Tomahawk atau jet Airbus, Castillo menyifatkan aspek penerbangan yang paling sukar adalah apabila membuat keputusan untuk berlepas dan mendarat kerana perasaan teragak-agak walaupun kecil sekalipun boleh mengakibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.
Detik mencemaskan buat dirinya apabila dia bertindak sebagai pembantu juruterbang DC-9 sembilan tahun lalu. Pada ketika itu kapal terbang mempunyai masalah tekanan ketika penerbangan berada pada ketinggian yang sederhana. Mujur latihan profesionalnya berjaya membolehkan dia mengawal keadaan dan mendaratkan pesawat DC-9 dengan selamat.
"Perkara yang saya pelajari daripada kejadian tersebut adalah anda tidak akan berasa takut sehinggalah ia sudah berakhir. Selepas mendarat dan semuanya selesai, ketika itulah anda mula berasa takut dan cemas," katanya. Walaupun apa yang terjadi, Castillo tetap dengan cita-cita untuk menjadi kapten pesawat Airbus yang lebih besar sekali gus merealisasikannya suatu hari nanti. Kini penerbangan terbesar negara tersebut diperkenalkan secara agresif ke pasaran antarabangsa.
Dia juga mengimpikan untuk berkahwin dan mempunyai anak suatu hari nanti tetapi Castillo berdepan dengan masalah mencari masa untuk hal peribadi. Dia sendiri melihat dirinya terbang dan mengajar sehingga usia 65 yang merupakan umur persaraan bagi juruterbang yang berkhidmat dengan Cebu Pacific. "Saya sangat berharap untuk berkahwin dan mempunyai keluarga tetapi saya tidak tahu bagaimana?
"Secara jujur, saya seronok menjadi seorang juruterbang dan mengajar. Menjadi seorang jurulatih secara tidak langsung memberikan kepuasan kepada saya kerana ia membuatkan saya berfikir sama ada mahu mengundur diri atau tidak?" katanya. - AFP




p/s: Aku suka berita yang memberi ispirasi seperti ini. Wanita ini menggunakan setiap detik dalam hidupnya dengan mencuba macam-macam perkara..dia tahu apa yang dia mahukan. Aku?

Tiada ulasan:

blog buku Hud aikara.

  • Pemandu Van Jenazah - Tajuk: Pemandu Van Jenazah Penerbit: Utusan Karya Tebal: 270 m/s Buku ini merupakan kompilasi kisah pengalaman pemandu-pemandu van jenazah yang diceritaka...
    3 tahun yang lalu

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...