2.2.12

Edge of the Garden.

Woo..panas betul malam ni..rasa berbahang. Tapi ada benda menarik yang aku nak kongsi.Tadi di TV8 aku telah menonton satu filem menarik. Sangat menarik bagi selera akulah...mungkin korang dah nonton filem ni tapi tak apalah, aku ingin sekali menulis sinopsisnya.

Tajuknya; Edge of the Garden. Ia menceritakan tentang Brian Connor (Rob Estes) seorang lelaki yang sangat fokus terhadap kerjayanya sehingga mengabaikan tunangan sendiri dan akibatnya hubungan mereka telah terputus berantakan.




Kemudian, Brian pindah ke Maine di mana dia telah membeli sebuah syarikat kecil dan bercadang tinggal sementara di situ. Dia membeli sebuah rumah kotej lama tetapi tanpa sedar mula terlibat dengan kejadian-kejadian aneh di rumah tersebut.
 
Dia mendapati ada orang meletakkan jambak bunga segar dalam vase, kemudian dia selalu terdengar suara-suara orang berbicara tetapi tidak kelihatan di mana-mana. Dia juga menemui seutas rantai berloket hati misteri yang bertulis 'cinta sejati' di dalam saluran paip. Sampai akhirnya dia menemui seorang gadis sedang tercari-cari sesuatu di laman rumah di tengah-tengah malam.

Nama gadis itu ialah Nora (Sarah Manninen). Anehnya Nora menyatakan dia tinggal di situ sedangkan Brian telah membeli rumah tersebut. Akhirnya mereka menyedari mereka memang tinggal di rumah yang sama tetapi berlainan masa! Nora merupakan wanita muda yang hidup di tahun 60an sedangkan Brian merupakan pemilik rumah 50 tahun akan datang. Ini bererti Nora telah menemui seorang lelaki dari masa depan dan Brian pula telah berjumpa wanita dari masa silam. Yang nyata keduanya bukan hantu. Menarikkan? hehehe...

Mereka berhubung melalui surat yang sentiasa disorokkan  Nora dalam bekas tin dekat pendiangan. Dari cerita Nora, Brian mendapat tahu Nora tidak bahagia dengan suaminya Thomas yang pemarah, dingin dan kuat cemburu. Thomas sentiasa mencurigai isterinya bersama Frank seorang pekerja rencam yang diupah membaiki taman mereka. Nora terkongkong dan berasa sangat sunyi. Untuk menghilangkan kesuraman hidupnya dia menumpukan perhatian kepada pokok-pokok bunga di taman.

Jalan cerita filem ini kemas dan mudah difahami. Dalam satu rumah berlaku dua kehidupan yang berlainan dan sungguh aneh bila Brian dan Nora saling bersahabat. Mereka hanya nampak antara satu sama lain dalam masa-masa tertentu sahaja dan selebihnya berkomunikasi melalui surat.

Satu hari Nora telah jatuh sakit. Brian berusaha membantu Nora dengan menyenaraikan ubat yang perlu diambil Nora demi menyelamatkan nyawanya. Senarai ubat tersebut diberikan oleh kawan Brian kerana pada zaman Nora penyakitnya masih dalam peringkat pencarian penawar. Thomas pula mendapat tahu Frank telah membawa Nora bertemu doktor dan ini menyebabkannya sangat marah.

Brian pula cuba mendapatkan cerita-cerita setempat mengenai rumah itu dan mendapati Nora telah mati akibat kebakaran di rumah tersebut. Dalam pada itu bekas tunangannya Julie muncul di tempat kerja. Lalu  Brian menjemputnya untuk makan malam. Ketika di rumah Brian, Julie telah tidak sengaja menjatuhkan loket hati kepunyaan Nora yang disimpan Brian, ke dalam api pendiangan. Ketika itu Brian telah ternampak Nora di taman sedang menangis dan meminta wanita itu melarikan diri dari Thomas.

Tanpa Brian sedar sebenarnya loket yang dijatuhkan Julie itu telah menyebabkan kebakaran di dimensi zaman Nora. Thomas telah mengunci Nora di dalam bilik apabila isterinya itu bertegas hendak meninggalkannya. Dalam keadaan cemas itu Brian telah 'terpindah' masuk ke zaman mereka lalu bersemuka dengan Thomas. Dia melepaskan Nora yang terkunci dan mereka berlari ke pintu. Ketika Thomas mengacukan senapangnya ke arah Brian, keadaan kembali seperti asal.

Brian sangat gembira bila mendapati nama Nora telah muncul di laman buku telefon. Mereka telah mengubah sejarah! Nora tidak mati dalam kemalangan tersebut. Akhirnya Brian berpeluang menemui Nora di masa sebenar dan sudah pasti wanita itu telah pun tua. Nora terkejut melihat Brian kerana penantiannya selama 50 tahun untuk menemuinya telah tercapai. Kerana jasa lelaki itu, dia dapat membina hidup bahagia dengan Frank. Nora memperkenalkan cucunya Sarah yang begitu seiras dengannya ketika muda dan berharap loket itu memberikan mangisnya pula kepada Brian dan Sarah untuk menemui cinta sejati.

Kuya:....uwan...panjangnyerrr...semua orang dah ngantuk baca...

uwan: ...aku punya suka ler.....ngeh ngeh ngeh...

Tiada ulasan:

blog buku Hud aikara.

  • Pemandu Van Jenazah - Tajuk: Pemandu Van Jenazah Penerbit: Utusan Karya Tebal: 270 m/s Buku ini merupakan kompilasi kisah pengalaman pemandu-pemandu van jenazah yang diceritaka...
    3 tahun yang lalu

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...